Friday, November 24, 2006

Bas Khas Bawa Pelancong - Hop on-Hop off

Bas khas bawa pelancong dilancar
KUALA LUMPUR: Empat daripada 10 bas pelancongan berkonsepkan ‘Hop on-Hop off’ yang akan beroperasi di ibu kota mulai akhir Disember sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM2007) dilancarkan semalam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hasan, berkata pelancaran perkhidmatan bas menerusi kerjasama syarikat Elang Wah Sdn Bhd bagi memudahkan pelancong melawat produk pelancongan di sekitar bandar raya Kuala Lumpur.

Beliau berkata, buat permulaan hanya empat bas beroperasi di sebanyak 43 lokasi tumpuan pelancong termasuk KLCC, Menara Kuala Lumpur, Taman Burung, Dataran Merdeka, Istana Negara dan Muzium Negara.

Katanya, perkhidmatan bas itu mungkin agak asing di Kuala Lumpur tetapi sudah lama wujud di kota London, Paris, Barcelona dan Edinburgh.

“Bas pelancongan ini memberi keselesaan bukan saja kepada pelancong asing, malah pelancong domestik yang berhasrat melawat tempat menarik di ibu negara.

“Mereka tidak perlu menunggu terlalu lama kerana bas itu akan sentiasa berada di 43 lokasi untuk mengambil penumpang,” katanya pada sidang media sebelum menghadiri mesyuarat ahli Badan Penasihat Majlis Tindakan Pelancongan Kuala Lumpur (MTPKL) di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup; Pengarah Urusan Elang Wah Sdn Bhd, Syed Azhar Syed Nadzir; Pengarah Eksekutif Elang Wah Sdn Bhd, Rizal Ashram Tan Sri Ramli dan Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Mohd Ali Othman.

Sementara itu, Syed Azhar berkata, bas pelancongan yang setiap satu dianggarkan bernilai RM700,000 akan dilengkapi sistem rakaman pendengaran maklumat dalam lapan bahasa.

Beliau berkata, bas berkenaan disediakan dengan pemandu pelancong bagi memudahkan pelancong asing mendapatkan maklumat pelancongan menarik di sekitar ibu negara.

“Bas dua tingkat dan berbumbung kaca ini akan beroperasi bermula jam 8.30 pagi hingga 8 malam setiap hari selain berhenti di sebanyak 23 hentian sekitar bandar raya.

“Tiket harian fleksibel yang dicadangkan adalah RM38 bagi dewasa, RM16 bagi pemegang MyKad, RM17 warga emas, RM3 kanak-kanak lima tahun ke bawah dan RM32 untuk keluarga,” katanya.


News Source : BeritaHarian
[tags : ]

No comments:

 

 

 

Related Posts with Thumbnails